Pastikan ibu hamil cukup zat besi

[Utusan Malaysia, 13 Mei 2012] Pernahkah anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang ‘biasa’ semasa hamil.

Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.

Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” ujarnya di bengkel pendidikan bertajuk ‘Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera’ anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.

Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak,” ujarnya

Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.

“Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia,” ujarnya.

Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.

“Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu,” katanya.

Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.

“Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.

Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.

“Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

“Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

“Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia,” ujar Dr. Premitha.

Perancang keluarga

Kenapakah saya perlu mengambil berat mengenai perancang keluarga?

Merancang keluarga bermaksud menentukan bilakah masa yang sesuai untuk mempunyai anak dan berapakah bilangan yang di ingini oleh pasangan tersebut.

Masa yang sesuai untuk wanita mempunyai anak :

  • 1. Berumur diantara 20 dan 35 tahun
  • 2. Mempunyai anak kurang dari 2-3 orang
  • 3. Kelahiran anak terakhir 2-3 tahun lalu
  • 4. Tidak mempunyai penyakit yang menjejaskan kesihatan ibu dan bayi
  • 5. Pasangan ingin mempunyai anak

Ibu dan bayi adalah berisiko jika faktor-faktor di atas tidak dipenuhi. Dari itu wanita adalah digalakkan mengamalkan kaedah perancang keluarga.

Apakah kaedah-kaedah perancang keluarga yang ada?

1. Kaedah semulajadi

  • 1. Kaedah masa subur
  • 2. Suhu badan asas
  • 3. Kaedah cairan dan lendiran faraj
  • 4. Kaedah gabungan
  • 5. Kaedah tanpa haid tempoh penyusuan

2. Kaedah halangan

  • 1. Kondom
  • 2. Topi servik
  • 3. Diafram

3. Hormon

  • 1. Pil
  • 2. Implan
  • 3. Suntikan

4. Alat dalam rahim

5. Kaedah kekal

  • 1. Ikatan tiub fallopian/peranakan
  • 2. Pembedahan mengikat saluran mani lelaki

Apakah faedah merancang keluarga?

Faedah-faedahnya termasuklah:

  • Meningkatkan kualiti hidup wanita, pasangan dan anak-anak
  • Membantu wanita merancang dan menjarakkan kehamilan untuk kesihatan ibu dan anak yang lebih baik
  • Untuk mengelakkan kehamilan yang tidak diingini
  • Untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi
  • Merancang keluarga membaiki kesejahteraan keluarga

Apakah kaedah yang sesuai untuk saya?

Anda perlulah menentukan kaedah yang paling sesuai untuk anda dengan bantuan anggota kesihatan. Faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum memilih kaedah perancang keluarga:

  • Umur wanita tersebut
  • Taraf kesihatan
  • Keberkesanan kaedah
  • Kaedah yang disukai individu
  • Kaedah yang terdapat di klinik

Bagaimana untuk saya tahu yang saya tidak hamil sebelum memulakan perancang keluarga?

Sebelum memulakan perancang keluarga, anda harus memastikan anda tidak hamil. Wanita tidak hamil jika beliau tidak mempunyai tanda-tanda kehamilan dan mempunyai kriteria seperti di bawah :

  • Dalam masa 7 hari selepas haid normal
  • Dalam masa 7 hari selepas keguguran
  • Dalam masa 4 minggu selepas kelahiran untuk ibu-ibu yang tidak menyusukan bayi
  • Ibu-ibu yang menyusukan anak dalam masa 6 bulan kelahiran dan belum lagi turun haid
  • Belum lagi melakukan seks sejak haid terakhir

Sekiranya kehamilan belum lagi dipastikan, anda perlu :

  • Melakukan ujian kehamilan air kencing atau
  • Tunggu sehingga haid berikutnya (kondom dan penggunaan bahan pembunuh sperma boleh digunakan sementara menunggu haid berikutnya)

Bilakah kaedah perancang keluarga perlu dimulakan?

1. Hormon (pil)

  • Wanita tidak hamil – bila-bila masa, terutamanya dalam masa 7 hari
  • Selepas keguguran – mulakan serta merta

Selepas kelahiran :

  • Jika tidak menyusukan bayi – mulakan 3 minggu selepas melahirkan anak
  • Jika menyusukan bayi – mulakan 6 bulan selepas melahirkan anak atau lebih awal jika berhenti menyusu atau digantikan dengan susu formula

2. Suntikan hormon

  • Mulakan dalam masa 7 hari haid
  • Mulakan serta merta selepas keguguran

Selepas kelahiran

  • Sekiranya tidak menyusu-serta-merta selepas melahirkan anak
  • Jika menyusukan bayi-6 minggu selepas melahirkan anak

3. Alat dalam rahim

  • Semasa haid
  • Serta merta selepas keguguran
  • 6-8 minggu selepas kelahiran sebelum memulakan hubungan seks

4. Kaedah kekal
Wanita (Ikatan tiub fallopian/ tiub peranakkan)

  • Serta-merta selepas melahirkan atau
  • 6 minggu selepas melahirkan atau
  • Semasa pembedahan kelahiran/ Caesar atau
  • Bila-bila masa

Lelaki (Vasektomi)

  • Bila-bila masa

Adakah kaedah perancang keluarga yang digunakan semasa kecemasan berkesan untuk mengelak kehamilan?

Keberkesanan Pil perancang yang digunakan semasa kecemasan ialah 75% manakala keberkesanan Alat dalam rahim pula adalah 99.9% untuk mengelak kehamilan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika saya terlupa mengambil pil kombinasi hormon paket 21 (seperti Marvelon, Nordette)?

1. Lambat memulakan

  • Tidak melakukan seks atau menggunakan kondom atau gunakan bahan pemusnah sperma sehingga anda mengambil turutan 7 pil.

2. Terlupa 1 pil

  • Ambil serta-merta dan sambung yang lain seperti biasa.

3.Terlupa 2 atau lebih pil

  • Gunakan kondom untuk selama 7 hari
  • Ambil pil hormon
  • Kira berapa bilangan pil hormon yang masih tinggal dalam paket, jika 7 biji atau lebih, makan pil yang tinggal seperti biasa. Jika kurang dari 7 pil hormone yang tinggal, makan baki pil yang tinggal itu seperti biasa dan mulakan paket baru pada hari esoknya.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya tertinggal pil hormon progestin ? (cth, Noriday)

Ambil pil terakhir yang tertinggal serta-merta. Elakkan seks. Sambung mengambil pil berikutnya seperti biasa. Jika tidak dapat mengelak dari melakukan seks, gunakan kaedah perancang yang lain selama 48 jam.

Sekiranya tiub fallopian/ peranakan saya telah diikat?

Kaedah pembedahan adalah kaedah kekal dan pembedahan untuk membukanya dapat dilakukan tetapi mungkin tidak akan berjaya.

Dimanakah saya boleh mendapat khidmat bantuan untuk perancang keluarga?

Khidmat Perancang Keluarga terdapat di semua Klinik Kesihatan Kerajaan, Klinik Lembaga Pembangunan dan Kependudukan Negara (LPPKN) dan Klinik Pertubuhan Perancang Keluarga.

Bahan rujukan :

  • WHO 1998 Health workers’ manual on FAMILY PLANNING OPTIONS
  • KKM 21-22June 2001 Family Planning program guideline
  • WHO 2002 Selected practice recommendations for contraceptive use
  • The National Women’s Health Information center Nov 2002 Emergency Contraception

Semakan akhir : 28 April 2008
Penulis : Dr. Fuziah Paimin

Dapatkan panduan lengkap kehamilan di sini :
http://www.9bulan.info/index.php?ref=dpli

 

Bakteria baik untuk ibu hamil

[Utusan Malaysia, 8 Mei 2012] Sebagai seorang wanita, impian bergelar ibu adalah naluri semula jadi yang tidak dapat dinafikan.

Disebabkan itulah, sebaik sahaja disahkan mengandung, bakal-bakal ibu pastinya mengambil berat akan pemakanan mereka sepanjang sembilan bulan agar kesihatan diri serta anak yang dikandung sihat.

Untuk itu, bagi menjamin kesihatan bakal-bakal ibu, mereka digalakkan mengambil produk pemakanan berkhasiat yang baik khusus untuk keperluan pemakanan wanita mengandung.

Di samping pemakanan berkhasiat yang lazim dinasihatkan oleh para doktor, kini ibu-ibu mengandung turut disarankan agar mengambil makanan yang mengandungi probiotik untuk menjamin kesihatan anak yang dikandung.

Dalam masa yang sama, pemakanan yang berkhasiat amat digalakkan agar ia dapat menampung kesihatan bayi sebaik dilahirkan sehingga menjangkau 1,500 hari.

Dipercayai sepanjang tempoh ini merupakan masa kritikal untuk pembentukan serta tumbesaran anak-anak dan ia perlu diberi perhatian serta tumpuan oleh ibu bapa.

Oleh yang demikian, menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor, ibu-ibu mengandung digalakkan mengambil pemakanan yang mengandungi probiotik seperti tempe, yogurt, minuman berkultur, miso dan sesetengah minuman jus atau soya.

Ini kerana ulas Dr. Natasha, golongan itu sering menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti sembelit, pedih hulu hati, keputihan, kencing tidak lawas dan sebagainya.

Dengan adanya ‘bantuan’ daripada pengambilan makanan-makanan yang mengandungi probiotik, ia dapat membantu mengurangkan masalah tersebut dengan penambahan bakteria baik di dalam usus.

Ia juga dapat mengekal dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu mengandung dan anak yang dikandung kerana lazimnya daya tahan wanita semasa mengandung akan menurun.

“Ibu-ibu yang mengandung digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik melalui diet harian dan memakan suplemen dalam bentuk kapsul, pil atau susu ibu mengandung yang terdapat probiotik.

“Pengambilan probiotik bukan sahaja memanfaatkan kepada ibu malah ia turut memberi kebaikan kepada anak yang dikandung.

“Secara tidak langsung, kebaikan probiotik yang diambil semasa mengandung akan berterusan sehingga anak yang dilahirkan mencecah 1,500 hari,” ujarnya ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, baru-baru ini.

Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat pada dinding usus untuk menjadikan badan kuat dan sihat.

Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan dalam ekosistem usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Malah sistem ketahanan badan yang baik diperlukan bagi menjaga kesihatan.

Di sinilah probiotik atau ‘bakteria baik’ dalam usus dilihat memainkan peranan penting bagi memperkuatkan lagi sistem imun.

Kekurangan probiotik juga menyebabkan sistem ketahanan badan tidak berkembang dengan baik. Ini boleh membawa kepada gangguan sistem ketahanan, gejala alahan dan obesiti.

Menurut Dr. Natasha banyak kajian klinikal telah dilakukan mengenai makanan tambahan probiotik. Salah satunya oleh seorang profesor dalam bidang perubatan kanak-kanak dari Universiti Turku, Finland, Dr. Erika Isolauri.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Isolauri baru-baru ini telah menemui fungsi terbaru probiotik di mana ia mungkin memainkan peranan penting untuk mengawal paras gula dan juga berat badan bagi ibu-ibu mengandung.

Ini bermakna probiotik mampu mengawal kencing manis dan berat badan wanita ketika hamil dan selepas bersalin.

Bagaimanapun ujar Dr. Natasha, ia masih lagi dalam kajian awal dan kajian seterusnya perlu dilakukan.

Kata beliau, pengambilan probiotik juga adalah untuk maksimumkan kebaikan bayi selain dapat meredakan bayi yang sedang mengalami masalah cirit birit.

Berbicara mengenai jumlah pengambilan probiotik, ulas Dr. Natasha, setiap individu adalah berbeza dan seelok-eloknya mengikut nasihat yang disarankan doktor.

Apabila ditanya mengenai kesan sampingan pula, ulas Dr. Natasha, kajian-kajian saintifik tidak menunjukkan sebarang kesan buruk yang tidak diingini di kalangan wanita mengandung dan bayi.

Dr. Natasha juga percaya orang ramai perlu dididik mengenai manfaat probiotik kerana ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada ibu-ibu mengandung serta bayi tetapi juga kepada orang ramai.

 

Dapatkan panduan lengkap kehamilan di sini :
http://www.9bulan.info/index.php?ref=dpli

Penjagaan Pranatal

Apakah itu penjagaan pranatal?
1. Ia adalah pemeriksaan kesihatan yang berkala apabila anda disahkan mengandung.
2. Salah satu tujuan adalah untuk memastikan hubungan baik antara anda dan kakitangan kesihatan.
3. Kedua-dua keperluan perubatan dan psikologi anda akan ditangani.
4. Perkhidmatan ini dikendalikan oleh petugas yang terlatih di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan.

Apa itu lawatan tempah?
1. Lawatan tempah adalah lawatan pertama anda ke klinik penjagaan pranatal.
2. Ini adalah lawatan mustahak untuk mengenal pasti dan menguruskan sebarang komplikasi kesihatan (jika ada) dan melakukan saringan faktor-faktor risiko yang mungkin dialami semasa tumbesaran janin dan akibatnya.
3. Ia perlu dilakukan sebaik sahaja anda disahkan mengandung.
4. Masa yang disyorkan bila anda mengandung kurang dari 12 minggu.
5. Lawatan pertama mungkin terlewat bagi kandungan anda tetapi masih dianggap lawatan tempah.

Semasa lawatan tempah, jururawat akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan :
1. Perihal pusingan haid anda
2. Sejarah peribadi
3. Sejarah keluarga
4. Sejarah perubatan dan pembedahan
5. Sejarah kandungan lampau (jika ada)
6. Latar belakang ekonomi dan sosial

Selepas sesi temuduga jururawat akan melakukan pemeriksaan fizikal. Seterusnya anda perlu menjalani ujian di makmal. Apabila anda selesai dengan proses tadi, terpulang kepada keadaan dan keputusan temuduga, pemeriksaan dan ujian makmal, rawatan diberikan mengikut kesesuaian.

Sebelum pulang, tarikh lawatan susulan anda akan diberi mengikut persetujuan anda. Jururawat akan memberikan salinan kad pranatal untuk disimpan oleh anda dan untuk dibawa bersama semasa lawatan ke klinik. Keseluruhan proses mengambil masa 1- 2 jam bergantung kepada beban kerja klinik semasa lawatan anda.

Apakah yang dilakukan semasa lawatan susulan pranatal?
Semasa lawatan ini tahap kesihatan dan keadaan kandungan anda akan dinilai dan dipantau.

Penglibatan keluarga dan waris adalah digalakan :
1. Untuk sokongan emosi bila diperlukan.
2. Menggalakan mengikut nasihat dan program penjagaan pranatal.
3. Membantu mengenalpasti keperluan dan kehendak ibu.
4. Berbincang bagi merancang kelahiran.

Berikut adalah ativiti-aktiviti yang dilakukan semasa lawatan susulan :
1. Sejarah ringkas dari lawatan akhir pranatal yang telah direkodkan.
2. Pengambilan berat badan dan tekanan darah.
3. Ujian air kencing untuk protein dan gula.
4. Ketinggian rahim direkodkan di carta yang ditetapkan untuk pemantauan tumbesaran janin.
5. Kedudukan janin
6. Dinilai selepas kandungan 32 minggu.
7. Jika kedudukan janin tidak tepat, pemeriksaan ultrasound untuk kenal pasti kedudukan uri.
8. Denyutan jantung janin akan direkodkan.
9. Pelalian (diberikan bila sampai tempoh).

Berapa kerapkah lawatan pranatal?
Dicadangkan lawatan pranatal seperti berikut :

1. Sebelum 28 minggu – sebulan sekali
2. 28 – 35 minggu – setiap 2 minggu sekali
3. 36 minggu dan keatas – setiap minggu

Kekerapan lawatan bergantung kepada keperluan dan keadaan anda.

Bagaimana saya akan tahu bayi kandungan saya membesar dengan sihat?
Semasa lawatan pranatal kedua ibu dan kandungan anda akan dinilai dan dipantau.

Di sini disenaraikan aktiviti-aktiviti yang membantu petugas kesihatan untuk memantau kebaikan janin :
1. Mengukur ketinggian rahim (saiz perut anda)
2. Pemantauan pertambahan berat badan bagi setiap lawatan
3. Pemeriksaan ultra sound bagi menilai tumbesaran dan kedudukan janin.
4. Carta pergerakan janin – anda perlu mengira kekerapan tendangan janin dalam masa 12 jam
5. Denyutan jantung janin anda – dengan menggunakan mesin Doppler membolehkan anda mendengar denyutan jantung janin anda.
6. Cardiotocography (CTG ) – mesin yang digunakan untuk menilai keadaan janin jika dikhuatiri janin tidak membesar dengan baik.

Di mana saya boleh mendapat bantuan?
1. Di semua klinik kesihatan kerajaan (di kenali sebagai Poliklinik Komuniti, Klinik Kesihatan, Klinik Desa)
2. Klinik swasta
3. Hospital swasta

Bahan rujukan
1. KKM (2003). Garispanduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu Dan Bayi Edisi 3 (Versi Semakan)
2. KKM (2002). Perinatal Care Manual.
Semakan Akhir : 28 April 2008
Penulis : Dr. Nor Filzatun Borhan

Rujukan lengkap informasi tentang mengandung :
www.9bulan.info/index.php?ref=dpli